I made this widget at MyFlashFetish.com.

PENDAFTARAN 2012 DI BUKA SEKARANG TERHAD KEPADA 30 PELAJAR SAHAJA

SILA HUBUNGI PUAN NORLITA

0192537025 ATAU 0391003838

PAMERAN LUKISAN MURNINYA HATI, BERSIHNYA JIWA 2010



MURNINYA HATI, BERSIHNYA JIWA.
Menurut Ibnu Abbas(r.a), Allah s.w.t. telah menjadikan manusia daripada pelbagai jenis tanah dari muka bumi dan Syurga. Satu-satunya anggota yang dibentuk daripada tanah Firdaus adalah hati. Hati adalah tempat keyakinan, keimanan dan kemahuan. Hati tidak akan tenang sekiranya manusia senentiasa melakukan maksiat dan kemungkaran. Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Hati akan terus bercahaya sekiranya manusia sentiasa melakukan perkara yang baik. Beliau berkata, “Sesungguhnya perbuatan yang baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati”.

‘Murninya Hati’ difokuskan kepada guru-guru yang tidak mengenal erti lelah menurunkan ilmu. Mereka tidak perlukan balasan dari segala kepayahan mendidik anak bangsa agar dapat melahirkan insan yang mempunyai daya kecerdasan rohani dan jasmani yang ampuh. Sang guru juga tidak pernah merasa bosan dan sentiasa sabar melayani karenah anak-anak didik yang amat dikasihi dan disayangi. Murninya hati kerana tidak pernah merasa tersinggung atau berdendam kepada masyarakat yang terkadang sangat kejam dan tidak bertimbang rasa dengan bakti yang dicurahkan. Oleh yang demikian, apabila ilmu diturunkan dengan hati yang murni maka lahirlah jiwa-jiwa yang bersih.

‘Bersihnya Jiwa’ dirujuk kepada anak-anak kecil yang naïf dan suci. Sesungguhnya setelah Allah s.w.t. meniupkan roh ciptaanNya ke dalam tubuh manusia, maka berdirilah ia tegak menjadi manusia yang sempurna. Bersihnya jiwa kerana tanpa sangsi terhadap persekitaran, sentiasa patuh kepada ibubapa serta guru-guru, tidak berdendam terhadap sesiapa sahaja yang mengusiknya, lantaran bersihnya jiwa kerana sering memaafkan.

Menurut Jean Piaget(1869-1980) berdasarkan pendekatan Teori Perkembangan Kognitif bertujuan mengkaji pengaruh persekitaran terhadap perkembangan tingkah laku kanak-kanak, pengamatan dan pencerminan seseorang terhadap persekitaran akan mendidik minda, tingkah laku serta keperibadian individu. Karya-karya yang dihasilkan oleh mereka dengan jelas menterjemahkan kenyataan tersebut, menggambarkan jiwa yang bersih, halus dan tulus. Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebung’, ungkapan keramat yang tiada penafian.

Murninya Hati, Bersihnya Jiwa adalah pameran seni visual sulong peringkat awal kanak-kanak. Pameran eksperimentasi sulong ini cuba membawa khalayak menyusuri dan mengamati pemikiran kanak-kanak, fungsi otak kanannya, sentuhan hatinya, pandangan matanya, gerak jemarinya, sapuan berusnya,palitan warnanya hingga melahirkan imajan-imajan di dada-dada kertas dan kanvas yang sungguh menakjubkan dan di luar pemikiran kita.

Seramai 21 orang pelukis cilik yang dilahirkan oleh Tadika Seni & Kreatif di dalam lingkungan umur 4 hingga 6 tahun mendokumentasikan karya mereka yang terhasil sepanjang tahun 2009 ini. Secara ringkas, pelbagai pengalaman sehari-hari mereka dapat diisi melalui keindahan warna yang dicurahkan dari pemikiran imajinatif hinggalah pengamatan realis. Justeru, doronglah mereka, berilah kata-kata semangat buat mereka agar terus berkarya. Mereka umpama kain putih yang dahagakan pendedahan dan pengetahuan.

Ayoh sama-sama kita nikmati hidangan seni ini sebagai santapan rohani.

Zaim Durulaman
Pelukis.

0 comments:

Post a Comment